Sabtu, 8 Oktober 2011

Pembentangan Belanjawan 2012


Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Di bawah peruntukan mengurus, RM52 bilion adalah bagi Emolumen dan RM30.5 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM96.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM1.1 bilion disediakan untuk Pembelian Aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.
Bagi peruntukan pembangunan pula, RM29.8 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM13.6 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM1.4 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion, berbanding RM183.4 bilion pada tahun 2011. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.
Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok baru, menaiktaraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini berjumlah RM6 bilion akan dilaksanakan.

Selain itu, beberapa projek utama akan dilaksanakan adalah:


Lebuhraya Pantai Barat Banting – Taiping, 
Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, 
Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru,
Lebuhraya Segamat – Tangkak 
dan Lebuhraya Central Spine 
serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.

Bagi tahun 2012, kerajaan akan memperuntukkan RM978 juta untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara; projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.


Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun.
Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan
Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.
Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;
Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.

Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua.
Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana RM100 juta. Skim ini menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak RM10 juta untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis.

Sebahagian dari pembentangan tersebut membincangkan faedah yang akan diberikan kepada PENJAWAT AWAM. Jadi, di sini gue hanya mencoretkan pembentangan faedah yang diberikan kepada RAKYAT.
Berita baek kepada IBUBAPA,
Sektor pendidikan akan diperuntukkan RM50.2 bilion bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.


Sebagai tambahan, peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut, RM500 juta kepada Sekolah Kebangsaan, RM100 juta disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM100 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM100 juta Sekolah Mubaligh, RM100 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara.
Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful.
Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta.

MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT


Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah berikut:
Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan terlatih;
Kedua: Memperuntukkan RM1.1 bilion pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA;
Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan RM300 juta akan disediakan; dan
Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan RM14 juta disediakan.
Antara isu yang menarik minat gue dalam pembentangan ini adalah.....
Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000, kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.
Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga RM150,000 berbanding harga pasaran RM220,000. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini.


Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat disiapkan. Bagi melindungi pembeli, kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini, bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah bernilai RM600,000 dan ke bawah.
Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Justeru, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK10. Bagi tahun 2012, RM443 juta diperuntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.
Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah program ini, mereka yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan peruntukan tambahan untuk membina 10,000 unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah yang berharga RM65 ribu ini, akan dijual dengan harga RM45 ribu sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah, kerajaan akan memberi subsidi sejumlah RM20,000. Sebanyak RM200 juta akan diperuntukkan untuk program ini.
Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.
PR1MA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak pemilikan kerajaan. Justeru, kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa bidang tanah pemilikan kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenal pasti kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.
Di samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan itu, beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak 1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak.
huhuhu..isu rumah ni memang menarik minat gue..hurm..agaknya bila gue nak beli rumah ek? sementara ada Skim Rumah Pertamaku ni.. korang mcm mne?? ada yg dah apply ke? jom2, share dgn gue..

1 ulasan:

sis92 berkata...

banyak berita gembira
jmput komen2 di blog